" Puteriku , tetaplah atas jalan dakwah!!
Akan ada di kalangan umatku segolongan umat yang muncul berpegang kepada kebenaran. Mereka tidak
disusahkan oleh sesiapa yang mengacuhkan mereka sampai datang perintah Allah , mereka tetap seperti itu.
Indah kalam Rasul Junjungan.
Mengajar erti perjuangan
Perlukan keteguhan azam
Istiqamah, tetap pendirian
Jangan mudah terhalang
Janji Allah Taala pasti datang!!
Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya,
Rasul bermadah lagi
Satu janji satu aspirasi
Islam takkan dapat ditandingi,
Cuma yang belum pasti,
Adakah kita tinggi peribadi??
Untuk memikul amanah suci,
Bagi merebut pandangan Ilahi
Sebagai Jiilul Quran yang tersendiri.
" Allah lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang yang berkehendak ( kepadanya ), dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan ( kamu ) dengan kaum yang lain , dan mereka tidak akan seperti kamu ini".
Ayat Allah cukup menggetarkan
Dia tidak teragak-agak membuat tapisan
Buat hamba-Nya yang bermalas-malasan
Sentiasa mencipta alasan
Liat dengan dakwah dan peningkatan
Mahu diketuk berterusan
Tidak menjadikan penggeraknya iman
Cinta Allah dibuat khayalan
Bimbang kelak diri akan terbuang
Daripada jalan dakwah penuh ujian
Dibiarkan Allah dengan keasyikan
Tertipu dengan jalan kehancuran!!
Ketahuilah puteriku
Allah memelihara jalan-Nya
Agar disusuri hati yang bersih
Sarat ketaqwaan
Merindui wajahNya
Jua keredhaan
Itulah jiwa insan pejuang
Bimbangilah sayangku
Daripada memiliki jiwa munafiq
Bertopengkan ketaatan.