14 Januari 2015 :
Bismillah, kalam itu ku rakamkan dahulu dengan penuh kesyukuran atas segala nikmat Iman dan Islam yang hingga kini masih mampu ku rasai betapa damainya perasaan itu..
Ku hembuskan salam rindu buat Nabi Saw, teladan dan suri kehidupan Ummah. Buat para sahabat yang memperjuangkan Islam itu hingga kini, tak mampu ku nilai betapa titis peluh yang mengalir ditambah dengan jasad yang sentiasa dirobek dan dicalar dengan hunusan pedang berbisa itu..itulah yang membuatkan aku mampu menghirup angin Islam.
Infiiru!!!
Keberangkatan mereka memperjuangkan Islam untuk dibandingkan dengan diriku.Terasa benar kerdil diri..Allahurabbi, .betapa lemah dan kerdilnya diri berhadapan dengan yang Maha Pencipta..
Apa khabar dirimu mujahadahku sayang, sedar tak sedar hampir 3 hari rupanya aku berada di bumi Kampus Kent, Bumi Pentarbiyahan untukku mendidik diriku menyempurnakan segala amanah dan seruan Nabi saw.
Sepanjang ku berada disini, tiada apa yang ku fikirkan..hanyalah memikirkan apakah cara untukku membawa adik2 sabah untuk mengenal nikmat Iman dan Islam sebenar..Hatiku rasa benar gentar dan terasa sayu jiwa memenuhi ruang jiwa. Apapun, Be Strong Azmalina. Seorang muslimah haraki yang merelakan dirinya ditarbiyyah tidak boleh kalah dan kena kuat untuk berada di atas jalan perjuangan ini.
Untuk melahirkan dan membentuk generasi Ummah yang akan bekerja untuk Islam sememangnya direntang dengan segala duri, kelelahan, kelemahan dan juga ketakutan.. jadi itu adalah satu perkara biasa dalam dunia perjuangan..
so, now let's direct to the point..
Aku ingin berkongsi satu perkongsian berkaitan dengan Ayahanda Imam As Syafie..
Sejak kecil lagi Imam Syafie mempunyai impian dan cita-cita
untuk mempelajari ilmu agama hinggakan belum pun mencapai usia 14 tahun, beliau
telah meminta izin daripada ibunya untuk mengembara dalam mencari ilmu. Ibu
Imam Syafie merupakan seorang ibu tunggal yang telah lanjut usia dan Imam
Syafie merupakan satu-satunya anak yang dimiliki. Setelah menyampaikan
hajatnya, Imam Syafie sedar raut wajah ibunya berubah seolah-olah ada kekusutan
yang bertandang.
Lalu berkatalah si anak, “Ibu sayang, kalau keinginan saya
untuk pergi ini membuatkan ibu berasa risau, saya akan menarik kembali hajat
ini, dan akan berpuas hati dengan apa saja ilmu yang akan dapat saya belajar
dari kawasan tempatan. Jadi saya dapat berada di sisi ibu dan sentiasa
menghambakan diri kepada ibu.”
Tiba-tiba air mata mula menitis dari kelopak mata si ibu.
“Tidak anakku, bukanlah itu maksudku. Sebenarnya apa yang engkau minta adalah
jawapan kepada impianku dan doaku selama ini terhadapmu. Ibu sentiasa berjaga
malam, memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan kepada anak kesayangan ibu
kemahuan untuk belajar tentang Rasulullah SAW, supaya Dia kurniakan kepadamu
keinginan menuntut ilmu yang akan menerangi jalan makhlukNya. Cuma, yang
merisaukan ibu, ibu tidak ada apa-apa untuk diberikan kepadamu sebagai bekal.
Tiada apa di rumah ini dapat ibu berikan untuk memenuhi keperluan
perjalananmu.”
Tetapi ternyata wanita itu mempunyai ketegasan dan kekuatan
dalamam yang amat tinggi. “Baik anakku, janganlah dirimu takut. Allah SWT akan
membekalkan kepadamu dengan secukup bekalan dan akan sentiasa memenuhi
keperluanmu. Pergilah anakku, ibu menyerahkanmu kepada pemeliharaan Allah SWT.
Ibu yakin Dia tidak akan mensia-siakan dirimu.”
Subhanallah, betapa besar pengorbanan si ibu, sebesar
cita-citanya yang menginginkan si anak menjadi seorang yang berilmu. Lalu
bergeraklah Imam Syafie dengan hanya berbekalkan semangat menuntut ilmu yang
tinggi bersama redha ibu tercinta.
Ternyata, perjalanan ilmu yang ikhlas itu suatu yang berkat.
Perjalanan Imam Syafie dipermudahkan Allah SWT apabila seorang tua sudi untuk
menumpangkannya dari Mekah ke Madinah. Dan di Madinah Imam Syafie menuntut ilmu
daripada Imam Malik dan selepas beberapa bulan beliau meneruskan kembara
ilmunya ke Iraq, Iran dan Baghdad serta berguru dengan ramai lagi tokoh-tokoh
ulama’ yang terkenal.
KEKURANGAN BUKANLAH ALASAN
Antara kisah yang terkenal dalam kembara beliau, ketika
pertama kali di Madinah, Imam Syafie yang ketika itu berada di Masjid Nabawi
telah mendengar pengajaran hadith oleh Imam Malik. Secara diam-diam Imam Syafie
duduk di satu sudut lalu mengambil seutas rami dan setiap kali Imam Malik meriwayatkan
hadith, Imam Syafie akan membasahkan rami itu dengan mulutnya lalu menulisnya
di atas tapak tangan kiri. Setelah sesi pengajaran itu tamat, Imam Malik yang
telah memperhatikannya memanggil Imam Syafie.
Berkatalah Imam Malik, ”Kamu seperti orang baik, tetapi ada
satu kelakuanmu yang pada saya kurang baik untuk dilakukan. Semasa saya
meriwayatkan hadith Rasulullah SAW, kamu terus bermain dengan rami dan tidak
mendengar dengan penuh hormat.”
Lalu dengan hormat dan rendah diri Imam Syafie menerangkan,
”Saya bukanlah bermain-main. Sebenarnya saya telah menggunakan rami itu untuk
menulis di atas tangan saya supaya saya dapat menghafal apa yang telah diajar.
Saya tidak ada apa-apa alat untuk menulis dan dakwat, jadi saya telah
membasahkan rami itu dengan mulut saya dan selepas menulis ia pun kering dan
tiada apa yang dapat dibaca lagi. Alhamdulillah saya telah dapat menghafal
kesemua hadith-hadith tadi.”
Hal ini telah memeranjatkan Imam Malik, maka Imam Malik meminta
Imam Syafie mengulangi hadith-hadith yang diajarkannya tadi dan ternyata beliau
telah menghafal kesemuanya!
Sepanjang kembara
ilmunya, Imam Syafie telah ditawarkan dengan pelbagai jawatan-jawatan penting
dan harta kekayaan, namun segalanya ditolak agar fokusnya untuk menuntut ilmu
tidak lari. Sehinggalah ketika beliau kembali semula ke Madinah untuk bertemu
gurunya, Imam Malik yang dikasihinya. Imam Malik yang ketika itu dilimpahi rezeki
hadiah daripada anak muridnya serata dunia, menghadiahkan Imam Syafie pelbagai
“buah tangan” mewah, daripada kuda-kuda Khurasan, keldai-keldai Mesir,
pakaian-pakaian berharga, makanan-makanan sehinggalah kepada beg-beg yang
dipenuhi wang ringgit.
KASIH MENUJU AKHIRAT: PERANAN IBU DALAM MENDIDIK ILMUWAN
HEBAT
Setibanya di Mekah dengan perasaan yang terlalu rindu kepada
ibu tercinta yang telah ditinggalkan selama bertahun-tahun, Imam Syafie lantas
mendapatkan si ibu yang telah berusia. Orang ramai yang berkerumun kelihatan
sungguh gembira namun insan yang dirindui ternyata tiada senyuman pun terlukis.
Apabila ditanya, berkatalah si ibu, “Apakah dirimu masih ingat anakku, apabila
engkau meninggalkan ibu, ibu tidak membekalkan apa-apa kecuali dua pakaian
Yaman yang ibu berikan kerana semangatmu untuk menuntut ilmu. Dan ibu tetap
menghantar kamu walaupun engkau adalah satu-satunya anakku dengan harapan
engkau mengkayakan dirimu dengan pelajaran hadith Rasulullah SAW. Apakah engkau
fikir ibu menghantarmu untuk kekayaan dunia? Apakah yang engkau bawa balik ini
adalah untuk menunjuk-nunjuk kekayaanmu dan merendahkan sepupu-sepupumu?”
Imam Syafie tergamam. “Betapa zuhudmu pada harta kekayaan
dunia dan betapa dalamnya penghormatan ibu kepada ilmu agama, betapa
kepercayaanmu tiada hadnya kepada Allah SWT.” Lantas dengan izin ibunya, Imam
Syafie menyedekahkan kesemua harta yang diperolehi beliau sehingga tidak
berbaki waima satu dinar!
Berkatalah si ibu, “Sekarang ini, anakku, kamu akan memasuki
teratak burukmu itu dengan keadaan sama seperti kamu meninggalkannya dahulu.
Tetapi kini di sana akan ada satu cahaya yang mana belum pernah menyinari
teratak itu sebelum ini. Anakku tersayang, Allah SWT telah pun memberi cahaya
kepadamu dengan cahaya ilmu dan ibu tidak mahu cahaya itu nanti akan menjadi
gelap gelita disebabkan oleh tarikan dan godaan kecantikan dunia yang sekejap
ini.”
KESUNGGUHAN, AKHLAK DAN PENDORONG
Saya terdiam. Tidak mampu berkata apa-apa. Hanya mampu
tertunduk malu menginsafi diri…
Benar, besar peranan seorang bonda untuk menjadi PENDORONG
dalam melahirkan insan-insan yang hebat, di mata masyarakat dan yang paling
penting hebat sebagai mukmin bertaqwa pada pandangan Allah SWT. Semoga Allah
memberikan kekuatan dan jalan untuk diri ini menjadi ibu solehah yang sentiasa
dapat mendidik zuriat yang dilahirkan agar menjadi insan bertaqwa dan mujahid
mujahidah yang tegar berjuang untuk Islam, insyaallah.
Sungguh, kembara ilmu itu tidak akan pernah berhenti, menuju
akhirat destinasi abadi…
“Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan
(menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh lautan (lagi) setelah (kering)nya,
nescaya tidak akan habis-habis (dituliskan) kalimat-kalimat Allah (ilmuNya dan
hikmahNya). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Luqman: 27)
Mari mengembara ilmu!!!
No comments:
Post a Comment